Follow Us on Twitter

Kita Kehilangan Penulis dan Ulama' Yang Berwibawa


Bila al faqir mendengar kewafatan al Habib Muhammad bin ‘Alawi al Aidarus ataupun lebih dikenali sebagai Habib Sa’ad, terus diri ini terbayangkan ketika menziarahi beliau lebih 5 tahun lepas sewaktu al faqir menimba mutiara ilmu di Tarim Hadhramaut. Masih lagi segar ingatan diri ini sewaktu disuruh oleh beliau untuk membaca kitab turath Ihya Ulumuddin di maqam Habib Abdullah al Aidarus bin Abu Bakar al Sakran.

Ketika selesai majlis pembacaan kitab yang amat berfaedah ini lalu semua hadirin akan membaca qosidah dan berselawat ke atas Nabi b. Lalu semuanya akan beredar termasuk al Habib Muhammad bin ‘Alawi al Aidarus, kami pun mengikutinya menziarahi semua penghuni-penghuni besar daripada kalangan keluarga Ba’lawi di Perkuburan Zanbal.

Alhamdulillah, sempat al Faqir ke rumah al Habib Muhammad bin ‘Alawi al Aidarus dalam menjalinkan hubungan antara seorang anak murid dan guru. Beliau sungguh gembira bila al Faqir menghadiahkan poster rambut dan bekas tapak kaki Rasulullah SAW kepadanya. Lalu dengan izin Allah, al Faqir telah diijazahkan segala sanad yang dimiliki oleh beliau dan diamanahkan untuk menterjemahkan buku beliau yang bertajuk Al Niat dan kitab-kitab beliau yang lain. Rasa terkilan kerana tidak sempat menyiapkan buku tersebut, walaupun al Faqir ada niat hendak menziarahi beliau dalam keadaan buku itu sudah siap diterbitkan kelak. Insyaallah, al Faqir akan cuba menyiapkan buku yang barakah ini demi menyelesaikan amanah yang telah terpikul di bahu ini.

Dikhabarkan Habib Sa’ad meninggal dunia ketika mana sedang membaca kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjah al Islam Imam al Ghazali rahimullah pada waktu tengahari Khamis. Beliau rebah tiba-tiba dalam keadaan masih mendakap kitab Ihya Ulumuddin. Wafatnya masih lagi berpelukan dengan cahaya ilmu Allah.

Ya Allah! Muliakanlah beliau sepertimana beliau memuliakan ilmu-ilmu yang telah Engkau ilhamkan kepada para kekasih-kekasihMu di dunia ini.

Category: 0 comments

0 comments:

Post a Comment