Follow Us on Twitter

5 Bintang Buku Ustaz Muhadir


Hujung minggu sudah, semasa membeli-belah, saya terjumpa buku di atas di sebuah kedai buku yang sering saya kunjungi. Cuma ada sebuah naskhah dan diletakkan di bahagian majalah. Langsung saya sambar untuk membelinya. Buku ini baru diterbitkan, dan memandangkan penerbitnya (Mawleed Publishing) bukanlah (belum lagi) nama besar dalam dunia buku sebelah sini, saya tidak rasa saya akan menjumpainya terjual di kedai buku itu. Tetapi alhamdulillah, di saat orang lain di bandar besar seperti KL mencari-cari buku ini dengan kepayahan, saya menjumpainya dengan mudah, malah kedai buku itu memberikan saya diskaun 10% lagi daripada harga asal RM30. :)

Sebaik sahaja sampai di rumah, saya membacanya sampai habis tanpa henti. Alhamdulillah, tidak seperti kebanyakan buku/artikel dalam genre ini yang dasawarsa ini boleh menaikkan emosi pembaca, membaca buku ini terasa begitu tenang dan lancar. Walaupun membahaskan beberapa masalah yang sering digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak, pengarangnya ini tidak menamakan puak itu dalam nada kesumat apatah lagi menggunakan perkataan keras atau sepatah ! pun. Ia memberikan pembaca satu hujah demi hujah dan membiarkan pembaca berfikir sendiri tanpa desakan.

Yang memberikan nilai tambah kepada buku ini adalah kedapatannya rujukan kepada kitab-kitab atau risalah-risalah yang ditulis oleh alim-ulama Melayu/Nusantara dalam permasalahan ini seperti risalah Tiada Haram Bermazhab karangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dan Tazkiyah al-Anzhar oleh Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani serta lain-lain. Cedokan daripada khazanah ulama kita sendiri samada yang dahulu ataupun yang kontemporari, terutamanya daripada naskhah / karya original atau asli mereka sendiri, ( i.e. yang bukannya karya terjemahan ulama negeri lain) adalah amat perlu bagi menonjolkan bahawa penolakan, terhadap golongan yang bermasalah, itu juga merupakan keputusan para ulama Nusantara, dan bukannya mereka itu ketiadaan hujah mereka sendiri. Wujudnya naskhah-naskhah dalam versi Jawi dan bahasa Melayu ini sangat sedikit ditonjolkan oleh pengarang kontemporari, lalu menyerlahkan pula bahawa pengarang zaman baharu ini seperti terputus hubungan mereka dengan ulama Melayu zaman bahari.

Secara keseluruhannya, kehadiran naskah 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyyah ini adalah sebuah hadiah Ramadhan buat saya tahun ini. Saya memberikannya 5* (out of 5*) dan mengharapkan supaya dapat memiliki karya Ustaz Muhadir yang lain.

Di samping buku ini saya juga membeli naskhah Jalan Mengenali Kesempurnaan Rasulullah s.a.w. (terjemahan kitab Wasail al-Wusul ila Syamail al-Rasul karangan Syeikh Yusuf ibn Ismail al Nabhani), juga terbitan baru oleh Mawleed Publishing. Saya kira typeset buku ini sudah begitu baik dan sangat presentable, tetapi berasa sedikit kecewa kerana ianya bukanlah terjemahan keseluruhan kitab itu melainkan sebuah karya suntingan. Terdapat banyak karya lain yang pernah saya baca edisi suntingan, tetapi karya-karya itu tidak mengecewakan saya. Berlainan dengan naskhah ini yang mana saya dapati suntingannya sedikit keterlaluan sehingga setiap fasal itu sudah menjadi begitu pendek, hilang isi dan hilang daya penarik. Mngkin penerbit boleh mempertimbangkan untuk menerbitkan pula edisi penuh supaya hadis-hadis yang begitu banyak itu tidak dieluarkan dan pembaca dapat membaca seluruh hadis dalam teks asal tersebut dalam usaha mencari perspektif yang lebih baik dan sempurna terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, sekiranya teks ini dibeli untuk dihadiahkan kepada rakan atau kanak-kanak yang baru hendak mengenali khazanah/genre Syamail, maka pilihan ini masih baik kerana kulit buku ini dan rekabentuk dalamannya (eh, macam bercerita tentang rumah pula!) sangat cantik dengan lorekan bunga dan awan larat di setiap mukasurat.

Category: 0 comments

0 comments:

Post a Comment